Monday, September 07, 2009

Kehadiran Bukan Muslim Ke Masjid

Isu yang agak hangat diperkatakan oleh Jemaah Islam dikawasan Bandar Sri Damansara tentang kehadiran YB ADUN Bukit Lanjan, YB Elibeth Wong ke Masjid sebagai lawatan kerja beliau dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan fakir miskin dan berbuka puasa bersama.

Ada yang berpendapat haram orang kafir menghadiri masjid apatah lagi diraikan dan bersama menjamu selera semasa berbuka. Sementara ada yang berpendapat boleh dan tidak menjadi satu kesalahan. Lalu pelbagai suara yang didengari dan ada yang sangat tidak enak untuk didengari terutamanya dari mereka yang mengharamkan kehadiran bukan Islam ke Masjid.

Untuk pengetahuan umum Ulamak-ulamak Besar yakni Imam Besar Empat (Shafie, Ahmad, Malik dan Hanafi rh) dan ulamak-ulamak yang sezaman dengan mereka telah lama berbincang akan hal ini dan keputusan mengenainya telah pun dibuat dan telah dipatuhi sekian lama.

Pandangan Imam Shafie rh mengenai hal ini adalah seperti berikut dan saya mengambil pandangan Imam Syafie rh adalah kerana kita di Malaysia mengikuti dan perpegang kepada Mazhab Shafie ini. Ilmu agama yang kita terima dari guru kita adalah juga berpegang kepada pendapat dan pandangan Mazhab ini. Imam Shafie perpendapat:


Harus orang-orang yang bukan muslim memasuki masjid dengan keizinan orang-orang muslim melainkan masjid al-Haram dan semua masjid yang berada di tanah al-Haram. Ini adalah pandangan para ulama dalam mazhab al-Syafie (Sila lihat Raudhah al-Tolibin 1/296). Ia juga merupakan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad, dan sebahagian ulama mazhab Hambali menyatakan inilah pandangan mazhab Hambali.

Said ibn Musayyin berkata:

Maksudnya:
“Abu Sufyan pernah memasuki masjid al-Madinah ketika ia masih seorang musyrik, demikian juga ‘Umair bin Wahb pernah memasuki masjid untuk membunuh Nabi S.A.W. yang berada di dalamnya, kemudian Allah menghidayahkan dia dengan Islam. (Sila lihat al-Mughniy oleh Ibn Qudamah).

Dengan pendapat Imam Syafie rh ini maka persoalan mengenai boleh atau tidak boleh seorang yang bukan Muslim hadir di Masjid telah terjawab dengan jelas lagi terang.

Cuma pengajaran yang boleh dipetik dari polimik penentangan akan kehadiran seorang bukan Muslim ke Masjid oleh ahli jemaah tertentu dapat dirumuskan seperti berikut:
  1. Bahwa sebahagian orang-orang Melayu Islam walaupun berpelajaran tinggi masih berfahaman yang sangat terbatas dalam memahami Islam sebagai agama kepada semua umat manusia.
  2. Sebahagian kita masih tidak dapat memahami konsep dakwah atau menyampaikan mesej Islam kepada semua manusia.
  3. Sebahagian dari orang Islam masih kuat berburuk sangka kepada orang bukan Islam walaupun mereka telah hidup sekian lama dikalangan kita.
Begitulah kiranya kalau kita lihat perkembangan Islam di Malaysia amat perlahan malah lebih tinggi kadar mereka yang keluar meninggalkan Islam. Semenjak Merdeka hingga hari ini sepatutnya 90 peratus sudah rakyatnya beragama Islam.

Memang hidayah datang dari Allah swt. Tetapi untuk membolehkan hidayah itu hadir maka jalan-jalan untuk kehadiran hidayah mesti terlebih dahulu diterokai. Dakwah mesti disampaikan terus kepada terutama bukan Islam apatah lagi yang bukan Islam itu Pemimpin masyarakat.  Mereka mesti diperlihatkan kebaikan Islam dan orangnya terutama dalam hal amanah, berpegang pada janji, bersabar, berbaiksangka, menghormati tetamu, adil, saling hormat menghormati dan segala sifat-sifat yang baik yang diajarkan oleh Al Quran melalui Rasullallah saw kepada kita.

Sekali kali kita tidak boleh lihat setiap orang bukan Islam sebagai musuh secara umum begitu. Musuh adalah mereka yang kafir dan Muslim sendiri yang munafiq yang menjadikan orang yang beriman sebagai musuh mereka. Selagi mana mereka tidak memusuhi Islam selagi itulah kita tidak berhak memusuhi mereka apatah lagi bagi mereka yang telah sedia ada perjanjian atau kontrak sosial dengan orang-orang Islam.

Mereka mahu bersama didalam majlis kita tidak menjadi masaalah dan harus digalakkan sekiranya kehadiran mereka tidak sedikit pun mencemar kesucian Islam itu sendiri apatah lagi jika mereka dapat menyaksikan sendiri keindahan Islam itu dengan mata dan akal mereka sendiri.

Islam datang kepada umat manusia bukan kepada bangsa Melayu, Arab, Cina, Inggeris atau apa bangsa sekalipun. Mengambil Islam sebagai hak orang Melayu adalah suatu pandangan yang salah dan sangat sempit. Kekafiran orang-orang bukan Islam adalah kerana kejahilan mereka dan ajaran Islam tidak sampai kepada mereka atau sampai dalam bentuk yang negatif.

Ini lah jihad besar setiap umat Islam di Malaysia hari ini untuk berjuang membuka setiap ruang-ruang yang ada kepada menyampaikan Islam kepada bukan Islam. Tembok halangan hasil dari pemikiran yang sempit harus dirobohkan dan dengan bulatkan tekad dan niat hanya kerana Allah swt terus mara menyampaikan mesej-mesej Islam dari setiap sudut, ruang dan peluang yang ada.

 























No comments: